Saya mula menulis artikel ini ketika satu jam menghampiri tarikh 8 Mac,
sebuah tarikh keramat di mana fasa kedua reformasi tanahair berlaku. 8
Mac lima tahun yang lalu, sebahagian daripada rakyat Malaysia yang punya
rasa tanggungjawab ke atas negara telah dengan berani menongkah arus
untuk perubahan dengan mengundi selain Barisan Nasional.
Separuh daripada rakyat yang keluar mengundi telah memberanikan diri
melakukan perubahan tanpa 'clue' atau 'leads' atau testimoni yang
betul-betul menjamin. Dengan kata lain, mereka memilih dalam gelap di
atas kekecewaan 'wayang' seorang Mr. Clean yang tidak berapaclean iaitu
Paklah. Ketika itu, hanya Kelantan sebagai negeri testimoni yang tidak
mampu membuktikan banyak kelebihan selain kewarakkan pemerintahan TG Nik
Aziz - modal dan model yang cukup besar. Faktor Anwar Ibrahim juga
tidak boleh diketepikan, beliau faktor penyatu membawa harapan baru
kepada negara. Dengan faktor-faktor yang tidak seberapa termasuklah
kelemahan Umno di bawah Paklah itu sendiri, maka tercetuslah apa yang
dinamakan Tsunami 8 Mac.
Tanggal 8 Mac adalah sejarah negara yang juga digelar tsunami politik
oleh kebanyakkan orang politik, manakala orang yang bukan politik turut
merasai satu kejutan budaya apabila pada malam yang sama selepas
pengiraan undi, jauh di sudut hati mereka menyatakan betapa Umno dan
Barisan Nasional tidak mustahil untuk ditumbangkan. Perasaan seperti ini
tidak wujud sebelum 8 Mac, perasaan Umno dan BN boleh ditumbangkan ini
wujud hanya pasca 8 Mac.
Saya masih ingat pada malam pengiraan undi itu awalnya dapat dilihat
satu 'backdrop' besar yang tertera perkataan "Tahniah Paklah Kerana
Berjaya Mengekalkan Majoriti 2/3" terpapar di dewan utama PWTC. Namun
'backdrop' tersebut hilang dari pandangan ditutup oleh kain hitam yang
besar. Peristiwa penutupan 'backdrop' ini adalah satu semiotik
menifestasi kekalahan Barisan Nasional, namun rakyat masih belum cukup
menang walaupun jumlah pengundian seluruh negara menghampiri 50-50 dari
sudut undi popular. Keputusan ini amat mengejutkan, lantas ia juga
mengejut rakyat dari 50 tahun tidur yang tidak berapa lena. Rakyat
terjaga terus dengan mata yang buntang memerhati perkembangan politik
tanahair secara lebih serius.
Selepas Tsunami 8 Mac sehingga bertemu 8 Mac yang kelima iaitu hari ini,
begitu banyak peristiwa yang berlaku dan seterusnya memberi impak
kematangan kepada hampir semua rakyat Malaysia untuk bersama menyertai
pertembungan era baru sistem dua parti. Dalam ruangan yang terhad ini
saya tidak mampu mengolah semua peristiwa yang berlaku di antara 'lima
kali 8 Mac', namun cukuplah jika saya katakan rata-rata rakyat Malaysia
hari ini telah mengambil tahu hal politik tanahair berbanding sebelum 8
Mac yang pertama. Setiap dari mereka tidak melepaskan peluang untuk
celik politik dan ingin menjadi sebahagian dari sejarah perubahan negara
dengan peranan masing-masing, ia perkembangan yang sangat sihat kepada
Pakatan Rakyat dan sangat sakit kepada Barisan Nasional. Mengapa?
Saya jelaskan, pertembungan kali ini amat berbeza dari pertembungan
terdahulu. Jika dulu mereka yang menyokong pembangkang dikatakan
menongkah arus tetapi hari ini ia bukan lagi menongkah arus, sebaliknya
ia adalah menyelusuri arus kerana arus perubahan itu sangat deras dan
tidak mampu lagi dibendung.
Lima kali 8 Mac menyaksikan sorotan isu-isu besar yang menarik perhatian
umum, daripada kehadiran cincin 24 juta dan kisah kemewahan Imelda
Rosmah, penyelewengan pinjaman penternakkan suami menteri yang
menyediakan kondo untuk lembu NFC di mana gaji setiap anak-anak mereka
seumpama terkena loteri RM30-RM50 ribu setiap bulan, ini semua berlaku
ketika rakyat semakin tertekan dengan kenaikkan harga petrol dan
barangan asas keperluan harian. Ketika rakyat tidak cukup duit nak makan
dengan gaji seterusnya lambat lagi, ketika yang sama juga duit rakyat
RM setengah juta digunakan untuk 'kenduri' pertunangan anak Perdana
Menteri. Ini semua punya kesan yang mempengaruhi kederasan arus
perubahan.
Lima kali 8 Mac juga menyaksikan keangkuhan, keganasan dan kezaliman
pemerintah. Jangan sesiapa pun antara kita lupa bagaimana angkuhnya
kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 78sen per liter, ada yang
bertumbuk di stesen minyak malam yang zalim itu. Bagaimana angkuhnya
kerajaan memonopolikan pelbagai keperluan asas seperti harga gula yang
naik dari RM1.20 hingga RM2.30 dalam lingkungan masa setahun setengah.
Lagi, kematian Kugan yang mati dalam lokap, Beng Hock dan Sarbini yang
mati di bawah jagaan SPRM, adik Aminulrashid yang mati kononnya sebagai
penjenayah dan ramai lagi rakyat yang tidak mendapat pembelaan
sewajarnya. Malah dalam kes Aminulrashid polis yang melepaskan 21 das
tembakkan akhirnya didapati tidak bersalah dan minggu yang sama seorang
lagi anak bangsa terkorban apabila motornya ditendang polis berpakaian
preman. Rakyat terkesan dan sedia untuk menyertai perubahan dengan
persoalan yang bermain di minda "nasib yang sama akan diharungi jika ia
berlaku di kalangan keluarga sendiri", maka adalah tidak selamat untuk
terus memberi mandat kepada kerajaan yang mengamalkan 'negara polis'
ini. Belum saya cerita apa yang berlaku pada Bersih 2 dan Bersih 3,
rakyat jadi saksi.
Lima kali 8 mac juga menyaksikan negara ini dijual sehabisnya. Tanah
rezab melayu terus layu jumlahnya, Batu Putih lesap, Tanjung Pagar
tergadai. Lagi, isu PKFZ tiada hujung pangkal, hilang berbelas bilion
wang rakyat. Isu kapal selam scorpene yang melibatkan penyelewengan
komisyen separuh bilion walhal kapal selam yang sama tidak mampu
menyelam dan pembeliannya juga tanpa pakej torpedo menjadikan tambahan
RM900juta wang rakyat perlu dihabiskan untuk sistem peluru berpandu,
rakyat terus ditongongkan. Jet pejuang tanpa enjin, stadium runtuh bukan
sekali malah dua kali runtuh, jambatan runtuh, makmal komputer runtuh.
Saya tak mampu sebut semua, hanya yang terlintas sahaja yang sempat
ditulis tetapi kesimpulannya tetap sama - rasuah penyelewengan cukup
berleluasa dan rakyat menilai.
Dalam masa yang sama, lima kali 8 Mac juga memberi satu gambaran yang
tidak mampu dipadam kebenarannya iaitu pentadbiran yang cekap dan amanah
negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat sehingga mampu melakukan
penjimatan yang menguntungkan rakyat. Prestasi cemerlang negeri Pakatan
Rakyat bukan omongan syok sendiri tetapi diiktiraf sendiri oleh Jabatan
Audit Negara lantas ia menjadi testimoni yang penting betapa bukan
Barisan Nasional sahaja yang mampu mentadbir malah Pakatan Rakyat punya
pakej jauh lebih baik. Justeru itu, timbul faktor keyakinan terhadap
Pakatan Rakyat bukan sahaja untuk mentadbir negeri, malah sedia untuk
menerajui Putrajaya.
Semua ini rakyat Malaysia sudah tahu, sudah khatam, sudah hafal dan ada
yang sudah jelak lagi muak. Rakyat sudah bersedia seutuhnya demi
perubahan ini tidak sabar untuk menolak Barisan Nasional setelah habis
mandatnya sejak 8 Mac lima tahun yang lalu. Namun malangnya sudah masuk
lima kali 8 Mac rakyat masih tidak berpeluang untuk melaksanakan
menifestasi yang bakal menamatkan pemerintahan 56 tahun Umno Barisan
Nasional. Buat kali pertama dalam sejarah, parlimen belum dibubarkan
selepas 5 tahun pilihanraya lalu, berlalu. Mengapa?
Ura-ura pembubaran Parlimen sudah kedengaran sejak suku keempat tahun
2011, ketika itu kita menjangkakan tidak sempat bertemu 8 Mac keempat
tetapi ianya 'false alarm'. Dalam tempoh yang sama, Najib
beberapa kali menyatakan hasrat untuk bubar namun sudah mencecah 8 Mac
kelima, masih belum bubar. Daripada BR1M asalnya adalah 'one-off' yang
bermaksud sekali bayar, kini sudah 'two-off' dan dijanjikan BR1M ketiga
dengan rasuah yang lebih besar walaupun berbentuk 'janji', parlimen
masih belum dibubar. Mengapa?
Persoalan mengapa parlimen belum dibubar untuk memberi laluan PRU-13
juga rakyat sudah tahu apa sebabnya - Umno Barisan Nasional akan kalah.
Umno BN juga tahu mereka akan kalah, maka atas sebab yang sama parlimen
belum mampu dibubarkan. Percayalah, sudah sampai satu tahap di mana jika
Umno dan Barisan Nasional menipu pilihanraya sekalipun, mereka tetap
tumbang di atas kebangkitan luar biasa rakyat Malaysia mencebur
perubahan. Apa lagi yang mampu 'mereka' lakukan?
Baru-baru ini peristiwa besar melanda tanahair, peristiwa ini hadir
'tepat' pada masanya. Telah berlaku tuntutan ke atas negeri Sabah oleh
'Kesultanan Sulu' yang menyaksikan pencerobohan Lahad Datu dan
mengundang kematian 8 orang perajurit negara setakat ini. Seperti yang
pernah saya ulas sebelum ini, kematian berlaku di atas kelalaian
pemerintah dalam membuat keputusan. Mengikut bacaan umum, hasil dari
tragedi Lahad Datu ini bakal menyaksikan Umno Barisan Nasional akan
tumbang lebih besar dari jangkaan, malah jika isu Lahad Datu ini tidak
mencelah pun Umno Barisan Nasional tetap akan tumbang menyembah bumi.
Tetapi cuba fikir baik-baik, bagaimana Umno dan Barisan Nasional nak
tumbang kalau pilihanraya tidak menjadi pilihan untuk dilaksana dalam
masa terdekat?
Tidak mustahil akan berlaku darurat dan pilihanraya akan ditangguh
sehingga 'mereka' rasa selamat untuk masuk gelanggang pilihanraya, hanya
selepas itu darurat dihentikan dan parlimen dibubar. SPR sendiri akui
bahawa pilihanraya boleh ditangguh jika kemelut Lahad Datu dan Sabah
berpanjangan.
Andainya peristiwa ini dikatakan sandiwara maka ramai yang akan melatah.
Saya ingin berterus terang, tembakkan yang berlaku adalah benar,
letupan bom adalah benar, mereka yang terkorban adalah benar terkorban,
tidak timbul soal hidup kembali bila dikait dengan perkataan
'sandiwara'. Jujurnya mereka yang terkorban adalah wira yang
mempertahankan kedaulatan negara. Namun begitu, bagaimana terjadinya
pencerobohan, bagaimana askar sulu tembus dan berkampung selama 3 minggu
di Kg Tandou tanpa tindakkan tegas pemerintah negara, bagaimana begitu
banyak hal tidak masuk logik berlaku - ini menjadi tanda tanya yang
sangat penting hingga timbul soal "apakah ia satu konspirasi"?
Konspirasi ini dibaca oleh sesetengah pihak dengan bunyi 'plot' dan juga
'sandiwara'.
Konspirasi terancang seperti ini boleh disusun bermacam cara bergantung
kepada objektif yang hendak dihasilkan, samada untuk satu polemik baru
bagi menutup polemik sedia ada, atau untuk membeli masa, atau pelbagai
lagi. Kesimpulannya, hampir semua isu semasa berjaya dilitupi dengan
'kanvas' Lahad Datu. Walaubagaimanapun, tidak semua yang dirancang itu
menjadi mengikut apa yang dirancang. Plot ini akhirnya tidak berjaya
menjadikan Najib Razak seorang 'hero' baru kerana kegagalan Najib dan
Kerajaan Malaysia mengendalikan konflik Lahad Datu dengan baik. Malah
percaya dan yakinlah konspirasi yang menggugat kedaulatan negara ini
gagal memberi bekalan positif untuk kempen Umno Barisan Nasional. Hanya
yang Umno dan Barisan Nasional mampu lakukan ketika ini ialah, terus
membeli masa dengan mengheret pertembungan pilihanraya ke masa tambahan
semaksimum yang mungkin.
Mungkin esok berlaku pembubaran parlimen, kerana kebetulan esok adalah 8
Mac yang jatuh pada hari Jumaat. Tetapi harus diingat walaupun parlimen
bubar esok (atau tarikh lain terdekat) kononnya kerna telah lama
dirancang bubar pada sekian tarikh, masih tidak mustahil pilihanraya
tidak menjadi pilihan dalam masa terdekat di atas alasan - keselamatan
negara belum terjamin. Jangan lupa, plot masih berjalan.
Akhir sekali ingin saya rumuskan bahawa inilah nasib rakyat Malaysia,
walaupun telah melampaui lima kali 8 Mac, dari 8 Mac 2008 bertemu 8 Mac
2013, keghairahan untuk menggapai perubahan masih tertangguh. Namun saya
optimis mengatakan walau bila pun pilihanraya, rakyat akan tetap dengan
istiqomah menolak Umno dan Barisan Nasional demi sebuah kerajaan rakyat
yang baru bersama PM baru yang segak dan lulus pelbagai ujian.
Inilah masanya, inilah zamannya. Kita bukan sekadar menjadi saksi
perubahan, tetapi menjadi sebahagian daripada agenda perubahan itu.
Ingatlah, perubahan itu tidak boleh ditunggu, tetapi harus dituntut
dengan segala kuderat dan kebijaksanaan.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM
Twitter: @edyesdotcom
No comments:
Post a Comment